Selalunya apabila membicarakan isu ini, kita akan membayangkan untuk mengambil imej burung yang cantik dari segi warna bulunya, gambar yang perfect dari segi composition burung dan "kerjasama" burung itu sendiri dalam memberikan pose yang menarik. Mungkin situasi seperti ini dapat diperolehi di zoo atau taman burung, tetapi tidak di habitat sebenar burung tersebut.
Dalam habitat sebenar burung, tidak kiralah apa sahaja jenis burung yang ingin diambil imejnya, cabaran yang terpaksa ditempuhi adalah pelbagai. Kebanyakan burung sangat susah untuk dirapati, terutamanya bagi tujuan fotografi. Sebagai contoh, burung Raja Udang atau Kingfisher (Alcedo Atthis) sangat mudah ditemui di kawasan berhampiran sungai atau tali air. Burung ini kelihatan jinak kerana ia jarang berganjak dari tempatnya bertenggek jika kita melintasi di hadapannya, walaupun dengan kenderaan. Namun begitu, sekiranya kita memberhentikan kenderaan untuk mengambil imejnya, ia akan terus terbang lari jauh dari situ.
ISO 800, 1/400 sec, f/6.4
Bagi mengatasi masalah sedemikian, saya memilih untuk menggunakan kamera yang berkeupayaan untuk mengambil imej pada jarak jauh. Saya gemar menggunakan kamera Fujifilm FinePix HS55EXR kerana mempunyai lensa yang sesuai (20mm hingga 1,000mm), ringan, senang digunakan dan dapat memberikan zoom yang terbaik seperti mana dikehendaki. Selain itu, dengan penggunaan kamera seperti ini, masalah subjek yang "susah dirapati" dapat diselesaikan. Sebagai tips kepada penggiat fotografi "memburung", mengambil imej burung tidak memerlukan sebarang tambahan filter pada lensa kamera anda. Ini bertujuan untuk memastikan imej yang diambil adalah sama dengan warna sebenar subjek tersebut. Selain itu, penggunaan shutter speed yang betul dapat memastikan imej burung yang diperolehi adalah jelas dan dapat mengelakkan masalah ghosting.
Kebiasaannya, aktiviti "memburung" memerlukan penggunaan shutter speed di antara 1/400 sec hingga 1/800 sec, bergantung kepada jenis dan tahap kelincahan burung yang hendak dirakam imejnya. Manakala penggunaan ISO pula adalah bergantung kepada keadaan cuaca pada ketika itu. Sekiranya dalam keadaan cuaca panas atau cahaya yang terang, ISO yang diperlukan antara 100 dan 200 sahaja. Sekiranya keadaan cuaca mendung pula, ISO yang diperlukan adalah 400 dan dalam keadaan lewat petang pula, ISO yang diperlukan adalah begitu tinggi iaitu 800. Penggunaan ISO ini bergantung kepada kedudukan subjek tersebut, sama ada di tempat terang yang terdedah kepada cahaya matahari, di bawah pokok ataupun di celah-celah daun pokok. Ini semua menjadi faktor penyumbang kepada penggunaan ISO. Penggunaan aperture pula berperanan untuk memberikan kesan bokeh pada imej yag diambil. Semakin rendah nilai aperture, semakin mudahlah untuk memperolehi kesan bokeh pada sesuatu imej yang diambil.
Ketiga-tiga ketetapan ini, iaitu ISO, shutter speed dan aperture saling memberikan sumbangan pada satu sama lain dalam mengambil imej burung. Setiap situasi yang dihadapi ketika "memburung" memerlukan ketetapan yang berbeza, bergantung kepada sumber cahaya yang ada, jarak lensa dengan subjek, serta latar belakang yang terlibat dalam sesuatu imej yang hendak dirakam. Sebagai tips tambahan, dalam mengambil imej burung pada situasi sebenar, seseorang penggiat fotografi perlu bijak untuk membaca arah datangnya cahaya, supaya imej yang diperolehi kelak tidak kelihatan suram dan gelap. Sesuatu imej burung yang terbaik dapat diukur dengan kejelasan mata burung yang diperolehi.
Bagi saya pula, ketiga-tiga ketetapan ini hanyalah merupakan suatu panduan dalam usaha untuk mengambil imej burung. Saya lebih mementingkan moment pada sesuatu imej yang hendak dirakam. Untuk itu, sekiranya sesuatu subjek telah dikenal pasti, seseorang penggiat fotografi itu perlu bersabar terlebih dahulu, sebelum membuat snap imej subjek tersebut. Seseorang itu perlu peka dan berupaya untuk meneka aktiviti burung yang bakal dilakukan. Berkemungkinan kita akan beroleh aksi sang burung tersebut yang sedang makan, ataupun membuat aktiviti-aktiviti lain yang tidak terduga oleh kita.
| ISO 200, 1/640 sec, f/5.6 |
| ISO 100, 1/500 sec, f/5.6 |
Kadang-kadang, dalam keadaan habitat sebenar seseekor burung, kita juga mungkin memperolehi aksi burung yang seolah-olah sedang posing seperti lagaknya seorang model. Ini merupakan "bonus" kepada penggiat fotografi, kerana situasi sebegini amat jarang diperolehi, disebabkan oleh fitrah burung itu sendiri yang bergerak aktif mencari makan dan tidak duduk tetap lama di sesuatu tempat.
| ISO 100, 1/800 sec, f/5.6 |
| ISO 400, 1/640 sec, f/6.4 |
Sesungguhnya, aktiviti "memburung" ini merupakan aktiviti fotografi yang memerlukan peralatan yang tepat dan kerkeupayaan tinggi. Ini kerana jarak yang jauh antara penggiat fotografi dengan subjek, memberi cabaran kepada seseorang itu dalam menghasilkan imej yang berkualiti. Selain itu, ketajaman penglihatan penggiat fotografi amat diperlukan untuk mengesan kedudukan burung, serta agakan yang tepat untuk memperolehi moment yang berkesan, merupakan antara cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi oleh seseorang penggiat fotografi itu. Namun, hasil kualiti terbaik yang diperolehi oleh seseorang penggiat fotografi itu, tidak ternilai berbanding dengan penat lelah dan modal yang telah dilaburkan.