Tuesday, October 20, 2015

Visit Sarawak Part 1

Dalam post kali ini, saya ingin berkongsi foto-foto yang sedikit unik, yang mana mungkin ramai dikalangan pembaca tidak berpeluang mengalaminya sendiri. Saya telah melawat Sarawak, iaitu di Lundu dan Sibu. Namun begitu, lawatan saya ke sana kali ini tidak begitu menarik, memandangkan keadaan cuaca yang berjerebu. Seterusnya mempengaruhi kualiti gambar yang saya rakamkan.

Semasa di Lundu, saya berpeluang menaiki perkhidmatan feri merentasi sungai. Ini kerana masih banyak lagi kawasan-kawasan di Sarawak yang menyediakan perkhidmatan feri disebabkan keadaan sungainya yang luas dan berarus deras. Sesungguhnya pengalaman menaiki feri itu sangat menyeronokkan, cuma ianya hanya sekejap sahaja.

ISO 100, 1/850 sec, f/4
Bagi menghasilkan foto sebegini, penggunaan shutter speed yang laju adalah diperlukan. Ini kerana semasa foto dirakam, kenderaan yang saya naiki sedang bergerak untuk masuk ke dalam feri tersebut. 

Semasa di Lundu, saya sempat berkunjung ke Pantai Pandan, iaitu pantai peranginan yang terkenal di sana. Waktu itu air laut sedang surut, yang mana kurang subjek-subjek yang sesuai untuk saya rakamkan. Namun begitu, kehadiran ketam-ketam yang sangat banyak di tepi pantai, amat menarik perhatian saya. 

ISO 100, 1/1000 sec, f/5.6
Dalam keadaan sebenar, ketam-ketam ini merupakan subjek yang sentiasa bergerak pantas. Bagi tujuan merakamkan foto ini, saya terpaksa menggunakan shutter speed yang sangat laju, yang mana kawalan cahaya perlu diselaraskan dengan ISO dan aperture. Selain itu, penggunaan teknik sebegini membolehkan saya merakamkan aktiviti yang sedang dibuat oleh ketam-ketam tersebut.

Semasa di Sibu pula, saya sempat merakam foto burung yang pada saya amat jarang dapat dilihat. Burung ini yang rupanya hampir sama dengan burung gagak, cuma bulunya yang hitam kehijauan serta mempunyai mata yang merah menyala, sangat pelik apabila dilihat. Kebetulan sewaktu di bilik hotel, saya sempat merakamkan aksi burung ini sedang mandi pada lewat petang, sebelum pulang ke sarangnya.

ISO 1600, 1/640 sec, f/5.6
Saya perlu menggunakan ISO yang tinggi, kerana tingkap bilik hotel saya sedikit gelap, yang mempengaruhi kualiti foto yang diambil. Selain itu, aksi burung sebegini memerlukan penggunaan shutter speed yang laju, bagi mengelakkan berlakunya masalah ghosting

Semasa di Sibu juga, saya berpeluang untuk melihat pokok besar yang unik. Pokok ini berada di dalam kawasan Masjid Sibu. Melalui temubual, saya mengetahui bahawa dahulunya pokok ini pernah tumbang, tetapi tidak mati. Sebaliknya ia terus hidup dan menghasilkan suatu seni bonsai yang sangat menarik perhatian saya. 

ISO 200, 1/200 sec, f/8
Sesungguhnya masih banyak lagi keunikan di negeri Sarawak yang perlu kita terokai. Bagi saya, segala keunikan yang dapat saya temui, akan saya rakamkan dan kongsikan dengan pembaca pada masa hadapan. 

Thursday, October 1, 2015

Apa Itu ISO, Aperture dan Shutter Speed

Sebelum ini, saya telah menulis artikel mengenai salah satu cabang fotografi, iaitu "memburung". Di dalam artikel berkenaan, begitu banyak istilah fotografi-istilah fotografi yang saya gunakan, terutamanya ISO, aperture dan shutter speed. Saya percaya para pembaca terutamanya yang bukan terdiri daripada penggiat fotografi semestinya akan tertanya-tanya maksud setiap perkataan tersebut, dan bagaimana ianya berfungsi dalam menghasilkan imej yang menarik.

Dalam ruangan kali ini, saya akan menunjukkan di mana kedudukan ISO, aperture dan shutter speed pada kamera berpandukan kepada model Fujifilm FinePix HS55EXR. Kemungkinan kedudukan ketiga-tiga fungsi ini tidak sama pada kamera jenis yang lain, tetapi diharapkan para pembaca dapat memahami konsep yang cuba saya sampaikan yang boleh dijadikan sebagai panduan. Selain itu, saya juga akan berkongsi dengan para pembaca mengenai satu konsep mudah secara analogi untuk memahami hubungan ketiga-tiga fungsi ini.

Apa itu ISO? ISO bermaksud International Organisation of Standardization. Ianya merujuk kepada tahap sensitiviti sensor terhadap cahaya. Semakin tinggi nilai ISO, maka semakin tinggilah sensitiviti sensor terhadap cahaya yang masuk ke dalam sesuatu kamera apabila imej hendak dirakam. Pada kamera saya, ISO paling rendah adalah bermula dengan 100, manakala ISO paling tinggi pula pada 12800. Ada juga beberapa jenis kamera yang mempunyai ISO paling rendah pada 50 sahaja. Kebiasaannya, ISO rendah digunakan pada suasana yang terdapat cukup pencahayaan, manakala ISO tinggi digunakan pada suasana kurang cahaya. 

Bagaimana pula untuk membuat penetapan ISO? Setiap kamera mempunyai ruangan "Menu". Pada ruangan ini pengguna boleh membuat pilihan nilai ISO yang hendak digunakan. Pemilihan ini biasanya dibuat setelah kamera telah ditetapkan pada manual mode
Selain itu, terdapat juga sesetengah kamera yang mempunyai butang shortcut untuk ke "Menu". Penggunaan butang ini lebih memudahkan pengguna terutamanya apabila sedang sibuk mengambil imej dalam acara-acara tertentu. Penetapan ISO masih lagi sama, cuma ianya lebih cepat untuk digunakan.
Tips: Penggunaan ISO rendah menyebabkan imej menjadi suram dan underexposed. Manakala penggunaan ISO yang terlalu tinggi akan menghasilkan imej yang kelihatan seolah-olah berpasir. 

Apa itu pula aperture? Aperture merupakan bukaan lensa bagi membolehkan cahaya masuk ke dalam kamera. Ketika seseorang pengguna itu merakam imej, lubang shutter akan terbuka bagi membolehkan sensor untuk menangkap objek yang mahu dirakam. Semakin luas lubang shutter dibuka, maka semakin banyaklah cahaya yang masuk ke dalam kamera.

Bagaimana pula untuk menetapkan aperture pada kamera? Seperti membuat penetapan ISO, untuk menetapkan aperture perlu dibuat dalam tetapan kamera pada manual mode. Sebagai contoh, kamera saya mempunyai butang zoom out, yang digunakan untuk preview imej yang dirakam. Selain fungsi itu, ianya juga bertindak untuk switch kepada penetapan aperture, yang dibantu oleh alat pelaras yang berada pada bahagian atas kanan kamera. 
Pada kamera saya, nilai aperture bermula dari 2.8 hinggalah pada 11. Cuma nilai ini berbeza dengan ISO tadi, yang mana semakin rendah nilai aperture, maka semakin luaslah bukaan lensa yang membolehkan cahaya masuk dengan lebih banyak. 

Tips: Penggunaan nilai rendah pada aperture akan membolehkan seseorang pengguna itu mendapat imej bokeh.

Apa itu shutter speed? Shutter speed merujuk kepada tempoh masa bukaan lensa yang membolehkan cahaya masuk ke dalam kamera dan mengenai sensor. Penggunaan shutter speed adalah berbeza, mengikut kategori apa sesuatu imej yang mahu dirakam. Penggunaan shutter speed dengan bijak akan membolehkan seseorang itu mendapat imej yang sangat menarik dan mengagumkan. 

Kebiasaannya, shutter speed paling rendah adalah pada 30" manakala shutter speed paling tinggi pada 1/4000 sec. Terdapat juga sesetengah kamera yang mempunyai bulb, dimana para pengguna boleh menetapkan masa merakam imej lebih lama dari 30", dengan bantuan remote control.

Bagaimana untuk menetapkan shutter speed? Ianya mudah ditetapkan pada manual mode, yang mana kawalan penuh oleh pengguna. Sebagai contoh, butang zoom out pada kamera saya juga bertindak untuk switch pilihan kepada shutter speed, dan penetapan dibuat menggunakan alat pelaras. 
Bagaimana untuk menggabungkan pemahaman di antara ISO, aperture dan shutter speed? Dalam menerangkan kesemua fungsi ini, saya akan menggunakan konsep analogi, yang mana sehingga kini ianya amat memudahkan saya dalam setiap kali outing dan membuat apa-apa aktiviti fotografi.

Bayangkan kamera anda merupakan sebuah rumah. Rumah tersebut hanya ada satu tingkap sahaja yang mempunyai langsir. Rumah berkenaan juga hanya mempunyai satu pintu sahaja. Langsir tingkap itu saya gambarkan sebagai ISO, darjah bukaan pintu rumah berkenaan sebagai aperture dan seberapa cepat pintu rumah tersebut ditutup merupakan sebagai shutter speed
Ketiga-tiga fungsi ini perlu dibuat penetapan yang betul, mengikut tahap pencahayan pada ketika imej hendak dirakam dan konsep imej sebagaimana seseorang itu mahu merakam. Ianya tidak menjadi suatu ketetapan khusus, bergantung kepada si pengguna itu sendiri.

Pada peringkat awal menggunakan kamera, saya berhadapan dengan kesukaran untuk mengambil imej seperti mana yang saya inginkan. Berdasarkan try an error, dan praktis berulang kali, saya menjadi semakin cekap menggabungkan ketiga-tiga fungsi itu, dan berupaya mendapatkan kualiti imej yang saya hajati.

Adalah diharap dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada penggiat fotografi, terutamanya yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang ini. Semoga anda beroleh imej terbaik untuk dikongsi bersama dan mampu untuk dibanggakan.