Dalam post kali ini, saya ingin berkongsi foto-foto yang sedikit unik, yang mana mungkin ramai dikalangan pembaca tidak berpeluang mengalaminya sendiri. Saya telah melawat Sarawak, iaitu di Lundu dan Sibu. Namun begitu, lawatan saya ke sana kali ini tidak begitu menarik, memandangkan keadaan cuaca yang berjerebu. Seterusnya mempengaruhi kualiti gambar yang saya rakamkan.
Semasa di Lundu, saya berpeluang menaiki perkhidmatan feri merentasi sungai. Ini kerana masih banyak lagi kawasan-kawasan di Sarawak yang menyediakan perkhidmatan feri disebabkan keadaan sungainya yang luas dan berarus deras. Sesungguhnya pengalaman menaiki feri itu sangat menyeronokkan, cuma ianya hanya sekejap sahaja.
| ISO 100, 1/850 sec, f/4 |
Bagi menghasilkan foto sebegini, penggunaan shutter speed yang laju adalah diperlukan. Ini kerana semasa foto dirakam, kenderaan yang saya naiki sedang bergerak untuk masuk ke dalam feri tersebut.
Semasa di Lundu, saya sempat berkunjung ke Pantai Pandan, iaitu pantai peranginan yang terkenal di sana. Waktu itu air laut sedang surut, yang mana kurang subjek-subjek yang sesuai untuk saya rakamkan. Namun begitu, kehadiran ketam-ketam yang sangat banyak di tepi pantai, amat menarik perhatian saya.
| ISO 100, 1/1000 sec, f/5.6 |
Dalam keadaan sebenar, ketam-ketam ini merupakan subjek yang sentiasa bergerak pantas. Bagi tujuan merakamkan foto ini, saya terpaksa menggunakan shutter speed yang sangat laju, yang mana kawalan cahaya perlu diselaraskan dengan ISO dan aperture. Selain itu, penggunaan teknik sebegini membolehkan saya merakamkan aktiviti yang sedang dibuat oleh ketam-ketam tersebut.
Semasa di Sibu pula, saya sempat merakam foto burung yang pada saya amat jarang dapat dilihat. Burung ini yang rupanya hampir sama dengan burung gagak, cuma bulunya yang hitam kehijauan serta mempunyai mata yang merah menyala, sangat pelik apabila dilihat. Kebetulan sewaktu di bilik hotel, saya sempat merakamkan aksi burung ini sedang mandi pada lewat petang, sebelum pulang ke sarangnya.
| ISO 1600, 1/640 sec, f/5.6 |
Saya perlu menggunakan ISO yang tinggi, kerana tingkap bilik hotel saya sedikit gelap, yang mempengaruhi kualiti foto yang diambil. Selain itu, aksi burung sebegini memerlukan penggunaan shutter speed yang laju, bagi mengelakkan berlakunya masalah ghosting.
Semasa di Sibu juga, saya berpeluang untuk melihat pokok besar yang unik. Pokok ini berada di dalam kawasan Masjid Sibu. Melalui temubual, saya mengetahui bahawa dahulunya pokok ini pernah tumbang, tetapi tidak mati. Sebaliknya ia terus hidup dan menghasilkan suatu seni bonsai yang sangat menarik perhatian saya.
![]() |
| ISO 200, 1/200 sec, f/8 |
Sesungguhnya masih banyak lagi keunikan di negeri Sarawak yang perlu kita terokai. Bagi saya, segala keunikan yang dapat saya temui, akan saya rakamkan dan kongsikan dengan pembaca pada masa hadapan.

No comments:
Post a Comment