Monday, May 2, 2016

Projek Cili Ku

Salam sejahtera.
 
Agak sudah lama saya tidak menulis di dalam blog ini. Sejak kebelakangan ini, rutin kerja yang sangat sibuk, serta tiadanya sebarang aktiviti outing menyebabkan tiada bahan untuk dimuatkan di dalam blog ini.
 
Baru-baru ini, saya bersama rakan karib telah mengusahakan projek tanaman cili secara kecil-kecilan. Bermodalkan kos yang terbatas serta ruang tanah yang agak luas, kami nekad untuk mengusahakan projek tanaman cili ini. Di dalam ruangan kali ini, saya akan berkongsikan sedikit sebanyak rakaman foto-foto berkaitan projek yang sedang diusahakan.

ISO 200, 1/100 sec, f/3.2
Anak-anak pokok cili ini berumur diantara 3-4 minggu. Ketika ini, penjagaan rapi amatlah diperlukan. Ini kerana ancaman serangga perosak seperti belalang, ladybird dan sebagainya selalu terjadi ketika pokok-pokok cili masih kecil. Selain itu, pembajaan secara rutin juga perlu dilakukan. Ini bertujuan bagi memastikan agar tumbesaran anak-anak pokok cili tidak terbantut.
 
Pokok-pokok cili kami letakkan dalam polybag. Ini bertujuan untuk memastikan segala nutrien melalui pembajaan dapat diserap semaksimum mungkin oleh anak-anak pokok cili ini. Selain itu, kaedah ini memerlukan penyiraman yang kerap, bagi memastikan kandungan air di dalam tanah mencukupi.
 
Disebabkan kos polybag yang sedikit mahal, kami telah menemui satu jalan penyelesaian, iaitu penggunaan guni yang dibelah dua. Kos penggunaan guni ini adalah jauh lebih murah, namun ianya hanya sesuai digunakan untuk sekali kitaran hayat pokok cili sahaja.

ISO 200, 1/200 sec, f/2.8
Urusan penanaman cili ini memerlukan kerja-kerja penyediaan tanah secara berterusan. Kami bercadang untuk menuai hasil tanpa putus, yang mana tugas penanaman benih cili perlu dilakukan secara berkala. Disini, saya kongsikan beberapa foto yang berkaitan kerja-kerja penyediaan tanah untuk tanaman cili fasa kedua kami.

ISO 200, 1/250 sec, f/3.6

ISO 200, 1/250 sec, f/4
Selesai kerja-kerja penyediakan dan penggaulan tanah, rakan-rakan serta anak sulung saya sempat juga bergambar kenang-kenangan bersama dengan anak-anak pokok cili.

ISO 200, 1/100 sec, f/3.6

ISO 200, 1/125 sec, f/3.6
Tidak terkecuali saya juga sempat merakamkan gambar selfie bersama-sama dengan anak-anak pokok cili.
ISO 200, 1/100 sec, f/2.8
Dianggarkan sebanyak 1,000 anak-anak pokok cili telah berjaya kami tanam. Kami berhasrat untuk menambah lagi anak-anak pokok cili pada fasa kedua dan seterusnya. Namun begitu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memastikan anak-anak pokok cili ini dapat hidup subur dan berupaya untuk memberi pulangan hasil yang memuaskan. Kami percaya, "berbudi pada tanah" serta doa kepada Yang Maha Esa akan dapat merealisasikan impian kami.

Di dalam kesibukan menguruskan projek ini, saya masih sempat untuk merakamkan satu foto Burung Raja Udang (Kingfisher), yang kebetulan bertenggek pada batang pokok berhampiran. Sekurang-kurangnya kehadiran burung tersebut dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya terhadap aktiviti "memburung" yang telah sekian lama tidak saya lakukan.
ISO 100, 1/400 sec, f/5.6
Insyaallah, dalam ruangan akan datang, saya akan kongsikan lebih banyak info berfoto mengenai projek tanaman cili yang sedang diusahakan secara bersama oleh saya dan rakan.

Sekian.